🩺 Bila Simptom Nampak Biasa, Tapi Rupanya Kanser...
- Hanis Nabihah Saari
- 6 Nov 2025
- 2 min membaca
Sebagai doktor di Klinik Salam Tanjung Lumpur, ada hari-hari yang meninggalkan kesan mendalam dalam hati kami.
Beberapa bulan lepas, saya menerima seorang pesakit wanita berusia 59 tahun, Puan S (bukan nama sebenar), yang datang dengan simptom yang nampak biasa — hilang selera makan, turun berat badan, dan sedikit pendarahan walaupun sudah menopaus.

⚠️ Simptom Biasa, Tapi Bahayanya Tak Dijangka
Puan S memberitahu berat badannya susut hampir 17 kilogram dalam masa dua bulan. Beliau juga mengalami pendarahan selepas menopaus setiap 3–4 bulan, hanya sehari setiap kali. Tiada sakit, tiada rasa perut bengkak — kelihatan seperti tiada apa-apa yang serius.
Namun sebagai doktor, saya tahu dua tanda ini — kehilangan berat badan mendadak dan pendarahan selepas menopaus — tidak boleh dipandang ringan.
Saya terus sarankan beliau menjalani CT scan, dan keputusan menunjukkan:
Rahim membesar dengan lapisan endometrium tidak sekata
Beberapa penanda kanser (tumor markers) meningkat tinggi: CA125, CA19.9, CEA
Dengan keputusan tersebut, saya rujuk beliau ke hospital pakar ginekologi untuk pemeriksaan lanjut. Diagnosis sementara: Suspek Kanser Rahim (Endometrial Malignancy).
🕰️ Perjalanan Rawatan Kanser yang Tertunda
Selepas rujukan, kami di klinik terus follow up dari semasa ke semasa.Namun, seperti kebanyakan kes di hospital kerajaan, proses janji temu dan rawatan agak panjang.
Saya masih ingat suaminya sangat prihatin — berkali-kali datang bertanya keputusan dan ingin pastikan isterinya dirawat segera. Beliau sungguh-sungguh ingin membantu isterinya sembuh.

Beberapa bulan berlalu...Baru-baru ini staf klinik kami menghubungi semula untuk bertanya khabar. Dan jawapan yang kami terima benar-benar menyentuh hati:
“Pn S sudah meninggal dunia pada 21 Oktober 2025 di hospital Kuantan.”
Saya terdiam. Sedih membayangkan suaminya yang begitu penyayang, kini kehilangan insan tersayang.Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa beliau dan tempatkan dalam kalangan orang beriman.
💔 Kenapa Kami Kongsikan Kisah Kanser Ini
Kisah ini kami kongsi bukan untuk menakutkan, tetapi untuk menyedarkan.
Ramai pesakit datang dengan simptom kecil yang dianggap remeh, tetapi rupanya tanda awal kanser. Bila rawatan tertangguh terlalu lama, peluang untuk sembuh semakin tipis.
Berikut antara tanda-tanda awal kanser yang sering diabaikan:
✅ Hilang berat badan mendadak tanpa sebab✅ Hilang selera makan✅ Pendarahan selepas menopaus✅ Batuk berpanjangan✅ Cepat letih, pucat, atau lemah
Jika anda ada salah satu tanda ini — jangan tunggu. Segera buat pemeriksaan.
💡 Nasihat Ikhlas Dari Klinik Salam
Kami di Klinik Salam faham, ramai yang takut untuk tahu keputusan sebenar.Tapi percayalah — lebih awal anda periksa, lebih besar peluang untuk sembuh.
Langkah awal boleh membezakan antara rawatan dan penyesalan.
📍 Klinik Salam Tanjung Lumpur
No. A1, Lorong Kampung Sungai Deraka 5, 26060 Kuantan, Pahang
Jangan tunggu simptom jadi teruk. Awal periksa, besar peluang untuk sembuh. – Dr. Hanis Nabiha Saari, Klinik Salam Tanjung Lumpur



.png)

Komen